.

Khamis, 5 Jun 2014

HIBURAN : AARON AZIZ TIDAK TERKILAN

// // Leave a Comment
Aaron lebih tenang hadapi dugaan bergelar Bintang Paling Popular kali kedua

Tiada sebab nak kecil hatiPengalaman masa lalu barangkali banyak mematangkan Aaron Aziz dalam berdepan dengan kontroversi. Jika sebelum ini beliau agak kurang sabar, terutama ketika berdepan cakap-cakap nakal mereka yang mempertikaikan kemenangannya sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011, kali ini, Aaron lebih tenang tatkala menghadapi situasi itu.

Walaupun masih ada insan yang tidak berpuas hati dengan kejayaannya yang kembali menggenggam trofi rebutan itu pada ABPBH edisi ke-27 lalu, selain anugerah Pelakon Filem Lelaki Popular, Aaron tetap enggan berprasangka buruk.

Saya tidak pernah menganggap kata-kata yang dilemparkan itu ditujukan kepada saya. Mungkin orang itu bercakap secara umum, tetapi orang lain yang salah sangka dan menganggap ia ditujukan buat saya,” kata pelakon berusia 38 tahun ini ketika ditemui pada majlis penyerahan hadiah kemenangannya sebagai Bintang Paling Popular, iaitu kereta Nissan Teana Serba Baharu Generasi Ketiga tajaan Edaran Tan Chong Motor (ETCM) pada majlis di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, malam Selasa lalu.

Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Urusan ETCM Sdn Bhd, Datuk Rosie Tan, dan disaksikan Pengarah Eksekutifnya, Datuk David Chen.

Tak perlu rasa terkilan

Tegas Aaron, beliau tidak perlu berasa terkilan dengan apa saja kenyataan yang seolah-olah mempersoalkan kemenangannya.

“Seperti yang saya katakan tadi, saya bersikap positif terhadap kata-kata seperti itu.
“Justeru, tiada sebab untuk saya rasa kecil hati atau kecewa. Apa yang penting sekarang ini, saya mahu fokus dengan kerja serta menjaga hubungan bersama peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seni saya selama ini,” ujarnya.

Disebabkan terlalu menghargai peminatnya, Aaron juga tidak berhasrat untuk menjual kereta yang dimenanginya itu kerana menurut pelakon ini, hadiah berkenaan ialah lambang usaha dan susah payah penyokongnya mengundi sehingga beliau meraih kemenangan berganda pada malam kemuncak ABPBH 2013 yang berlangsung di Putrajaya, 24 Mei lalu.


Mahu berehat pada bulan puasa


Beralih kepada kerjaya lakonannya, Aaron berkata, beliau seboleh mungkin mahu menyelesaikan segala baki lakonan sebelum tibanya bulan puasa.

“Buat masa ini saya sedang sibuk di lokasi penggambaran sebuah filem Hong Kong berjudul Female Special Force. Hanya saya pelakon Melayu terbabit dalam projek itu. Dalam filem berkenaan, saya memegang watak ketua samseng.

“Saya juga menunggu masa untuk masuk ke lokasi sebuah supertelefilem yang bakal diarahkan oleh sutradara Indonesia, Hanung Bramantyo, yang pernah mengarahkan filem Ayat-Ayat Cinta.

“Kalau boleh, saya mahu selesaikan semua kerja sebelum Ramadan ini. Jika tidak dapat berbuat demikian, saya akan memperuntukkan masa seminggu pada bulan mulia itu untuk menyiapkan penggambaran telefilem terbabit,” ujarnya.

Bagi bapa kepada tiga cahaya mata ini, pada setiap tahun, Ramadan ialah masa untuknya bersama keluarga. Selain mengerjakan ibadat, beliau ingin berehat selepas 11 bulan bekerja. BHARIAN

0 comments:

Catat Ulasan