.

Khamis, 3 Julai 2014

Nor Esah Pengurus Pemasaran Baru Hard Rock Cafe KL

// // Leave a Comment










Terlalu mengikut emosi, tidak rasional dalam mengambil keputusan dan bengis sering dikaitkan dengan wanita yang dilantik mengetuai sesebuah unit atau organisasi.

Pandangan skeptikal itu pula biasanya muncul daripada rakan sekerja lelaki yang bagaikan tergugat dengan posisi mereka apabila wanita berupaya melakukan tugasan secara lebih baik dan berkesan.






Namun bagi wanita ini, gender bukan alasan untuk menentukan tahap kemahiran individu. Apa yang penting adalah kemahuan untuk terus membina kerjaya seiring sasaran ditetapkan majikan.


FotoNOR Esah gembira dan positif dengan setiap perkara yang dilakukannya.




Ditambah dengan posisi­nya selaku Pengurus Pemasaran Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, Nor Esah Abd Ghani juga tidak terlepas dipandang serong berikutan jawatan dan organisasinya.



“Tidak dinafikan stigma antara pemimpin lelaki dan wanita masih ada dalam kalangan masyarakat kita, malah dalam kalangan pengurusan organisasi besar.



“Bagi saya, apabila diberi satu-satu tanggungjawab atau jawatan dalam organisasi, perlulah amanah melakukannya agar tugasan dapat dikendalikan dengan baik dan teratur,” katanya.



Seperti apa yang diperkatakannya, Nor Esah sememangnya antara contoh terbaik wanita yang berupaya memegang jawatan tinggi dalam organisasi hasil daya usahanya walaupun ada yang kurang percaya dengan kemampuannya.



Melihat resume anak bongsu daripada lapan beradik ini, Nor Esah memulakan kerjaya dalam bidang pentadbiran kewangan sejurus kembali daripada menuntut di Amerika Syarikat.



Tujuh tahun berkhidmat dalam bidang kewangan, Nor Esah mula berasakan bidang itu tidak lagi sesuai dengan jiwanya.



Wanita berusia lewat ­40-an ini kemudiannya beralih ke industri makanan dan minuman (F&B) di rangkaian restoran makanan Barat sebelum bakatnya dikenal pasti oleh Hard Rock Cafe pada 2011.



Secara praktikalnya, Nor Esah boleh dikatakan ‘head-­hunted’ (sistem perekrutan syarikat) untuk jawatan yang disandangnya kini.



“Boleh dikatakan ia rezeki Ramadan kerana saya ditawarkan jawatan ini pada awal minggu Ramadan. Saya diminta menghadiri temu duga keesokannya dan dua minggu selepas itu, saya memulakan kerjaya baru dalam bidang ini,” katanya.



Menariknya, pengikut atau peminat Hard Rock Cafe Kuala Lumpur di laman Facebook yang mulanya sekadar 10,000 kini melebihi 70,000 atas daya usaha Nor Esah dan warga kerja kafe.



“Itu sasaran utama saya iaitu menambah bilangan pengikut di Facebook dan Instagram kerana media sosial berpengaruh besar dalam masyarakat serta membantu syarikat mencapai lebih ­banyak rangkaian jaringan.



“Kebanyakan tugasan perlu saya lakukan sendirian terutama membabitkan pengurusan dengan pelanggan. Saya juga mengendalikan media sosial untuk syarikat dan pada masa sama memastikan projek promosi serta pemasaran berjalan lancar.



“Bunyinya sukar, tapi saya gembira dengan apa yang saya lakukan. Saya percaya apabila kita seronok dengan ­kerja yang dilakukan, perkara sukar boleh menjadi mudah. Setiap yang rumit pasti ada cara penyelesaiannya,” ujarnya.



Kini selepas hampir tiga tahun bersama Hard Rock, satu perkara penting yang dipelajarinya iaitu sabar. Boleh dikatakan setiap tugasan yang dilakukannya perlu membabitkan interaksi dengan pelanggan dan ia memerlukan tahap kesabaran tinggi untuk mengendalikan bermacam-macam kerenah manusia.



“Saya banyak belajar erti kesabaran dan dalam bidang F&B ini, itu perkara pertama perlu ada dalam senarai ­inventori diri. Mulanya memang agak payah, tapi atas bantuan staf dan rakan sekerja, saya lebih memahami cara untuk mengendalikannya,” katanya.



Tidak berprasangka dan berusaha positif pada diri serta individu lain turut membantu melicinkan tugasnya.



“Sejak dulu saya cuba bersikap positif pada diri serta orang sekeliling kerana ia akan membuatkan kehidupan kita lebih baik dan selesa.



“Selain itu, keluarga ­banyak memberi kekuatan selain tidak lupa dengan tanggung­jawab kita kepada Allah. Saya juga percaya dalam hidup ini perlu ada keseimbangan kerana ia aspek asas dalam kehidupan,” ujarnya.








0 comments:

Catat Ulasan