.

Khamis, 3 Julai 2014

Muzium Empayar Rom Vatican City Kini Detemui Semula

// // Leave a Comment









PELANCONG berpusu-pusu melihat keunikan reka bentuk Colosseum.


KERETA mewah jenama Ferrari, pelakon terkenal Sophia Loren dan makanan popular seperti spageti dan piza tidak boleh dipisahkan daripada Itali kerana kesemuanya berasal dari negara itu. Peninggalan sejarah Empayar Rom yang berusia berabad tahun turut menjadikan Itali antara negara paling popular menggamit kedatangan pelancong dari seluruh pelosok dunia.

Sekiranya anda berkunjung ke Rom yang sehingga hari ini menjadi ibu negara Itali, anda akan mendapati setiap ruang dan bangunan lama yang terdapat di sekitar bandar besar itu mempunyai sejarahnya tersendiri.

Kebanyakan bangunan lama yang masih berdiri teguh walaupun sesetengahnya telah rosak dimakan usia atau akibat diserang dalam peperangan, didapati mengekalkan ciri-ciri kesenian halus hasil ukiran serta lukisan tangan beberapa nama pelukis, pengukir dan arkitek tersohor pada zaman lalu.

Jika dahulu saya membaca sejarah Empayar Rom hanya melalui buku-buku, majalah serta menonton filem dokumenteri namun akhirnya saya bersama-sama suami dapat berkunjung ke bandar bersejarah itu untuk meneroka dan menyaksikan sendiri 'kehebatan' Rom di zaman silam.

Kami tidak menggunakan khidmat pemandu pelancong atau membuat tempahan pakej pelancongan dari Kuala Lumpur kerana mahu pergi sendiri ke destinasi pelancongan dengan menaiki bas awam/pelancongan yang disediakan di bandar raya bersejarah itu.

Tanpa mengetahui ke mana hala tuju sebenarnya, kami pergi ke sebuah kompleks membeli-belah dan kaunter pelancong untuk membuat pertanyaan tentang khidmat bas dan destinasi pelancongan yang terdapat di sekitar bandar itu. Kami bernasib baik kerana bertemu dengan seorang pemandu pelancong warga Maghribi. Pertemuan dengan lelaki itu merupakan detik permulaan untuk kami meneroka bandar itu. Dia menasihati kami supaya menaiki bas pelancong yang boleh dinaiki di seberang jalan tidak jauh dari kaunter itu.

Di tempat menunggu bas pelancongan dua tingkat tanpa berbumbung itu, kelihatan ratusan pelancong berbaris sambil berpayung kerana ketika itu musim panas dengan suhu mencecah 40 Celsius. Kelihatan beberapa lelaki warga Bangladesh sibuk menjual payung dan topi kepada kami. Ketika itu berdetik di hati saya,"hah... di Rom pun ramai orang Bangladesh mencari nafkah, ingat di Malaysia sahaja mereka suka datang. Sebaik-baik sahaja menaiki bas pelancongan itu, seorang konduktor wanita menyerahkan tiket selepas mengutip bayaran dan seterusnya earphone diberi untuk mendengar taklimat dalam pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Sepanyol, Perancis dan bahasa ibunda Itali di sepanjang perjalanan.

Destinasi pertama yang kami terokai ialah Muzium Vatican yang mesti dikunjungi setiap pelancong. Muzium ini terletak di bandar Vatican City dan dianggap paling unik kerana beberapa hasil lukisan tangan para pelukis dan pengukir tersohor Itali yang terdapat di sana bukan sahaja dizahirkan dalam bentuk lukisan yang tergantung di dinding malah dilakar di atas siling di sepanjang ruang yang terdapat di muzium bersejarah itu.

Bagi penganut agama Katholik, berkunjung ke Rom khusus di Vatican City dan Muzium Vatican dianggap sebagai menunaikan ibadah 'haji' (pilgrimage). Terletak di pinggir bandar Rom, muzium ini memperagakan pelbagai koleksi ukiran yang dihasilkan oleh Gereja Katholik Roman sepanjang beberapa abad termasuk sejumlah patung tersohor dan hasil kerja unggul daripada kesenian Renaissance yang pernah dihasilkan di dunia. Pope Julius 11 menjadi pengasas muzium tersebut pada abad ke-16, sementara itu Sistine Chapel dengan bahagian siling dihiasi dengan hasil kerja Michelangelo dan Stanza della Segnatura yang dihiaskan oleh Raphael adalah laluan pengunjung ke Muzium Vatican. Lebih daripada empat juta orang mengunjungi tempat itu pada tahun 2007. Bagaimanapun, Muzium Vatican berjaya memecah rekod pada tahun 2011 apabila lima juta orang mengunjunginya. - Sumber UTUSAN MALAYSIA




0 comments:

Catat Ulasan