.

Khamis, 5 Jun 2014

HIBURAN :BIOGRAFI P. RAMLEE PERLU DISOKONG

// // Leave a Comment

Pemergian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada 29 Mei, 1973 meninggalkan khazanah filem yang sehingga kini sudah diulang tayang beribu kali.

Tontonlah berapa kali pun, kita masih boleh menangis apabila melihat penderitaan P Ramlee dalam Penarik Beca, Antara Dua Darjat, Ibu Mertua Ku, Jangan Tinggal Daku, Putus Harapan dan Putus Sudah Kaseh Sayang. Kita juga terus ketawa terbahak-bahak melihatkan helah dan kelucuannya dalam Madu Tiga, Keluarga 69, Do Re Mi, Nasib Si Labu Labi, Tiga Abdul dan siri Bujang Lapok.

Lagu Di Manakan Ku Cari Ganti melarutkan perasaan mereka yang terpisah de­ngan insan tersayang dan Dendang Perantau, lagu yang paling ‘berhantu’ kepada sang perantau setiap kali tibanya Aidilfitri.

Semalam, Pengarang Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil, mengutarakan pandangan dalam kolum­ Karpet Merah mengenai perlu ada­nya sebuah filem biografi atau kisah hidup P Ramlee.


Kata Roslen, filem itu wajar diterbitkan oleh karyawan Malaysia selepas 41 tahun P Ramlee meninggal dunia.

Apabila persoalan itu diajukan kepada Pengarah Unit Penerbitan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Dr Asiah Sarji yang juga bekas Ahli Perbadanan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam, mereka sangat bersetuju jika ada pihak mahu menghasilkan filem biografi P Ramlee namun sebagai seniman yang disanjung tinggi seluruh masyarakat di negara, ia bukanlah projek ‘main-main’.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah FINAS Rozaimie Raja Dalnish Shah, ketika dihubungi mengalu-alukan penggiat filem yang berminat untuk menerbitkan filem berkenaan.

“Kita amat alu-alukan penerbitan filem seperti ini dan bersedia memberikan kerjasama,” kata­nya dalam nada yang positif.

Profesor Dr Asiah Sarji:

“Untuk menghasilkan filem mengenai P Ramlee, ia memerlukan penghayatan mendalam terhadap kehidupannya.

“Saya fikir perkara itu sangat kompleks dan memerlukan seorang penulis skrip yang mampu menelusuri kedalaman kehidupan P Ramlee. Jika mahu ‘transform’ dari kehidupan biasa kepada visual, filem itu perlu meng­gunakan pendekatan ‘life psychology’ kerana tanpa pendekatan seperti itu penonton tidak boleh rasakan P Ramlee yang kita pernah tonton dan dengar cerita mengenainya.

“P Ramlee adalah orang yang mempunyai daya kedalaman berfikir dan bertindak yang sangat tinggi. Kepada mereka yang berhasrat untuk menghasilkan filem P Ramlee, ia mesti dibuat dalam bentuk projek khas dengan sepenuh tumpuan dan usaha mestilah difokuskan kepada filem itu saja dan seandainya pihak FINAS sendiri berkenan untuk melaksanakan projek ini ia memerlukan kajian dan penyelidikan yang amat teliti.

“Walaupun usianya tidak panjang, kisah hidupnya tidak cukup untuk diikuti dalam satu malam saja, bermula daripada asal usulnya dan perjalanan kerjaya seninya bermula di Studio Jalan Ampas, Singapura sehinggalah ke Kuala Lumpur (KL). Kalau mahu difilemkan kisah hidupnya, kita tidak boleh paparkan keseluruhan riwayat hidupnya kerana semua aspek sangat penting,” katanya.

Melanjutkan perbualan, Asiah berkata, perjalanan P Ramlee dari Pulau Pinang ke Singapura dan dari Kota Singa itu ke KL sudah cukup dramatik untuk difilemkan.

“Daripada aspek itu saja, kita tak boleh mengang­kat keseluruhannya dalam ­sebuah filem. Itu belum ­termasuk konfliknya de­ngan Shaw Brothers. P Ramlee milik masyarakat dan jika tersilap sedikit, orang akan marah.

“Ahli panel pembikinan P Ramlee kena me­ngenal pasti sisi mana kisah P Ramlee yang boleh dijadikan paparan utama. Dalam konteks ini filem P Ramlee mestilah dibuat secara bijaksana. Setakat ini saya tidak nampak ada syarikat produksi yang berminat untuk menghasil­kan filem biografi ini kerana ia tidak membawa keuntungan sebagaimana penerbitan filem komersial lain selain kosnya yang tinggi.

“Pihak yang selayaknya untuk menerbitkan P Ram­lee adalah FINAS. Saya yakin jika ada peruntukan besar pasti ada yang sang­gup membuat penyelidikan khusus mengenai P Ramlee. Shumi (Datin Paduk Shuhaimi Baba) sendiri membuat kajian yang lama sebelum dia menghasilkan Tanda Putera.”

Datuk Yusof Haslam :

“Menghasilkan filem seorang tokoh bukanlah kerja yang boleh dibuat dalam sehari dua.

“Kita tidak mahu selepas filem itu ditayangkan, timbul kontroversi kerana meskipun ia filem sejarah dan fakta, pasti ada suntikan elemen komersial. Perkara ini mungkin akan meng­ganggu sensitiviti ahli keluarga tokoh berkenaan.

“Selain itu hanya mereka yang benar-benar ada kepakaran saja boleh menghasilkan filem P Ramlee. Selain kajian mendalam ia juga memerlukan kreativiti yang tinggi. Kalau setakat minat dan mengejar dana, nescaya filem ini akan gagal.

“Saya menangis menonton filem Tanda Putera kerana saya dibesarkan pada zaman Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri dan kisah yang dipaparkan dalam filem itu adalah fakta yang saya melaluinya sendiri. Detik itu adalah zaman kebangkitan orang Melayu. Oleh itu orang yang tepat untuk menghasilkan filem biografi P Ramlee adalah Shumi.

“Meskipun dalam Tanda Putera ada sedikit penambahan, namun fakta dan ‘feel’ filem itu tak berubah. Sekiranya dana untuk membuat filem ­P Ramlee diberikan kerajaan, ia mestilah diberikan kepada orang yang betul-betul komited,” katanya.

Menurut Yusof lagi, seperti filem Bukit Kepong, orang tidak boleh melenting melihat suntikan komersial dalam filem itu kerana siapa yang nak pergi tengok jika 100 peratus adalah filem artistik.

“Produser di Barat yang menghasilkan filem sejarah tetap mempersembahkannya dalam gaya baru. Misalnya filem Titanic, tanpa cinta dan air mata, filem itu akan kelihatan statik. Saya baca novel Ombak Rindu, tetapi saya lebih ‘enjoy’ menonton filemnya. Osman Ali selaku pengarah bijak menyesuaikan kandungan novel dengan elemen yang diperlukan dalam sebuah filem untuk menarik penonton ke panggung,” katanya.  hmetro

"kalau ada orang leh buat karya double meaning macam beliau lagi memang supperb"

0 comments:

Catat Ulasan