.

Rabu, 11 Jun 2014

Bukti Rakaman Tentera Dipadam Saksi

// // Leave a Comment




Seorang anggota tentera udara mengaku memadamkan rakaman kejadian yang didakwa sebagai sidang media Mejar Zaidi Ahmad pada 1 Mei 2013, selepas memindahkannya ke dalam komputer riba Jabatan Arah Provos Marsyal, pasukan itu.



Pengakuan itu dibuat Sarjan Udara Mohd Khairul Nizam Ishak, yang bertugas di bahagian Keselamatan Fizikal dan Pencegahan Jenayah (KFPJ), Skuadron 104 Pengkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM pada 1 Mei 2013.



Beliau adalah saksi pertama perbicaraan kes Zaidi yang didakwa di mahkamah tentera kerana memberi kenyataan kepada media mengenai isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13.



Saksi berkata demikian sewaktu menjawab soalan peguam Hanipa Maidin yang membela Zaidi.



Khairul sewaktu menjawab soalan pihak pendakwaan sebelum itu memberitahu mahkamah yang beliau mengekori Zaidi membuat laporan polis di balai polis IPD Kepala Batas pada 1 Mei 2013.



Beliau turut memberitahu mahkamah yang beliau membuat satu rakaman video kejadian yang didakwa sebagai satu sidang media oleh Zaidi, menggunakan telefon bimbitnya.



"Apabila sarjan memadamkan rakaman asal, sarjan sebenarnya memadamkan bukti, betul?" tanya Hanipa.



"Betul," jawab Khairul Nizam dari kandang saksi.



"Setuju atau tidak, apabila sarjan memadamkan bukti, ia adalah satu kesalahan," tanya Hanipa lagi.



"Tidak," balas beliau.



"Sarjan tahu atau tidak pertuduhan yang dikenakan ke atas Mejar Zaidi?" tanya Hanipa seterusnya.



"Tidak," jawab beliau ringkas.



"Saya katakan apa yang sarjan kata sebagai sidang media itu anggapan sarjan," tanya Hanipa lagi.



"Tidak," balas beliau.



Sewaktu disoal pasukan pendakwa Mejar Ahmad Sanusi Ali kemudiannya, Khairul menjelaskan yang ia bukan kesalahan kerana beliau melaksanakan arahan pegawai atasannya, yang tidak mahu rakaman itu tersebar kepada orang ramai.



"Kenapa padam?" tanya Ahmad Sanusi Ali.



"Saya dapat arahan untuk padam daripada Leftenan Kolonel Rosli supaya (rakaman) tak tersebar.



"Saya tak setuju (padam rakaman satu kesalahan) sebab saya dapat arahan untuk padam supaya ia tak tersebar," jawabnya.



Leftenan Kolonel Rosli dalam keterangan saksi kedua kemudiannya dikenal pasti sebagai pegawai yang mengetuai pasukan dari Jabatan Arah Provos Marsyal.



Pasukan itu tiba di Pangkalan Udara Butterworth pada jam 9 malam hari yang sama susulan laporan polis berkenaan dakwat kekal oleh Zaidi pada sebelah siangnya.



Jabatan Arah Provos Marsyal adalah pasukan yang menyiasat sebarang salah laku anggota TUDM dan menangkap anggota yang disyaki melakukan kesalahan.



Dalam keterangannya pagi ini, Khairul Nizam turut bersetuju dengan cadangan Hanipa bahawa kenyataan Zaidi berkenaan dakwat kekal adalah kenyataannya sebagai warganegara dan bukan urusan tentera.



Beliau juga bersetuju dengan cadangan Hanipa bahawa isu dakwat kekal perlu disiasat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan laporan polis Zaidi pada 1 Mei 2013 tiada kena mengena dengan tugasnya sebagai seorang pegawai tentera.



Khairul Nizam adalah saksi pertama daripada 17 orang saksi yang akan memberi keterangan dalam perbicaraan ini.



Mejar Zaidi Ahmad menghadapi tujuh tuduhan - semuanya di bawah Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 - selepas lima tuduhan di bawah Seksyen 50(2) akta yang sama dipinda.



Jika sabit kesalahan, Zaidi berdepan hukuman maksimum dua tahun penjara atau mana-mana hukuman lebih ringan termasuk dibuang kerja.



Pendakwaan hari ini dilakukan oleh Mejar Ahmad Sanusi Ali, Mejar Ahmad Azam Soip, dan Kapten Ross Anuar Aripin.



Zaidi pula diwakili barisan peguam Hanipa Maidin, Nasar Khan Mirbaz Khan dan Aminuddin Zulkipli.



Perbicaraan hari ini ditangguhkan pada jam 1 tengahari dan bersambung semula pada jam 9 pagi esok.












from MEDIA NEGARAKU http://ift.tt/1mHi3Dm

0 comments:

Catat Ulasan