.

Ahad, 15 Jun 2014

Agama: Prosedur IVF, PDG haram jika pilih jantina bayi

// // Leave a Comment
Islam berikan rukhsah atau kelonggaran pada kes darurat

Soalan:
Saya mempunyai tiga orang anak perempuan dan empat orang anak lelaki, tetapi semua anak lelaki meninggal dunia atau cacat. Menurut pakar, keadaan ini berlaku kerana saya dan suami mewarisi masalah gangguan genetik kepada anak lelaki saja hingga menyebabkan mereka cacat dan tidak hidup lama. Mereka juga mencadangkan agar kami menjalani diagnosis genetik praimplantasi untuk memastikan kami hanya mendapat anak perempuan, jika kami ingin mendapatkan anak lagi pada masa depan. Masalahnya penerangan di masjid dan membaca beberapa artikel mengenai pemilihan jantina anak menjelaskan ia haram. Apakah ada pengecualian dalam kes saya ini?

Rosnah,
Melaka Jaya

Jawapan:

Secara asasnya diagnosis genetik praimplantasi (pre-implantation genetic diagnosis-PGD) adalah prosedur perubatan bagi menyaring penyakit genetik yang mungkin dibawa oleh bayi. Biasanya kaedah ini digunakan dalam proses pemilihan embrio yang baik dan bebas penyakit sebelum ditanam di dalam rahim seorang wanita dalam proses permanian beradas atau In Vitro Fertilization (IVF). Ini bagi memastikan embrio yang dipilih benar-benar baik dan sesuai dikembangkan menjadi bayi yang sihat. Sudah tentu tidak munasabah untuk melakukan proses IVF dengan kos perbelanjaan yang tinggi dan prosedur yang rumit tetapi menghasilkan anak bermasalah kesihatan.
Hukum harus ikut kes

Sebagai salah satu prosedur IVF, PDG ini tidak haram dan dibenarkan tetapi kadang kala teknik ini disalahgunakan bagi menentukan jantina bayi yang dikehendaki. Ulama mengharamkan kaedah ini kerana selain ia mengganggu proses kejadian manusia, ia juga lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan jika disalahgunakan. Bagaimanapun, dalam kes tertentu yang membabitkan individu, ulama berbeza pendapat. Apabila berbeza pendapat, ia diharuskan dan hukumnya ditentukan mengikut kes individu.

Dalam kes puan dan suami, Islam memberikan rukhsah atau kelonggaran pada kes darurat. Ini kerana jika tidak menggunakan kaedah ini, anak lelaki yang dilahirkan akan menderita sebelum mati, di samping kos perubatan yang terpaksa dikeluarkan. Namun, perlu ada kawalan yang ketat oleh mereka yang pakar seperti doktor dan ulama. Selain itu ada beberapa syarat umum sebelum teknik PGD ini diharuskan:

Sperma dan ovum adalah daripada pasangan yang sah kahwin dan masih dalam ikatan perkahwinan ketika persenyawaan berlaku.

Embrio yang terhasil daripada persenyawaan luar rahim suami dan isteri tidak dibenarkan ditumpangkan kepada wanita lain, sekali pun wanita itu adalah isteri lain kepada suami itu.

Mendapat perakuan doktor pakar yang dipercayai mengenai ketidakupayaan pasangan terbabit mendapatkan anak secara biasa melainkan melalui kaedah IVF atau salah seorang daripada pasangan atau kedua-duanya mewariskan gen yang bermasalah kepada anak-anak.

0 comments:

Catat Ulasan